Akademi Muslim

Ramadhan Kareem

Masih Ada Yang Sayang

Hati seorang ibu benar-benar terluka. Petang itu tatkala dalam perjalanan pulang dari kerja, pihak sekolah menghubunginya meminta agar dia segera datang bertemu pengetua sekolah anak lelakinya. Sudahlah seluruh tubuh keletihan gara-gara bebanan kerja seharian, kini ditambah pula dengan khabaran salah laku anaknya si dekolah.

"Puan, anak puan terpaksa kami gantung pesekolahannya selama seminggu atas beberapa kesalahan disiplin. Namun seandainya anak puan masih mengulangi kesalahan yang sama atau melanggar mana-mana peraturan sekolah yang lain, pihak kami terpaksa menyingkirkan anak puan dari sekolah ini." Kata-kata tuan pengetua itu kedengaran umpama letupan bom atom di bumi Hiroshima dan Nagasaki, begitu memeranjatkan hati si ibu. Perlahan, menitis air mata seorang ibu. Tangan si anak diraih dan digenggam kejap. Wajah si anak dipandang sayu.

"Along, sejujurnya ibu amat sedih atas apa yang telah Alog buat biarpun ibu dan ayah telah berusaha memberikan didikan yang terbaik buat Along. Tapi walau apa pun, ibu nak Along tahu bahawa hukuman yang Along terima ini besar maknanya. Along amat bertuah kerana di waktu Along melakukan kesilapan dan kesalahan, masih ada orang yang sudi menegur, menasihati dan memarahi Along. Itulah tandanya MASIH ADA YANG SAYANG dan ingin membantu Along untuk berubah." Air mata si ibu gugur lagi. Kepala anak lelakinya diusap perlahan lantas bibir mulia si ibu mengucup lembut ubun-ubun si anak.

Sahabat-sahabat yang ana kasihi, andai kita perhatikan kisah di atas pasti ada di antara kita pernah melalui situasi yang seakan-akan sama. Dalam kehidupan kita ini adakalanya kita tidak sedar terdapat banyak tanda-tanda Allah masih sayangkan kita. Tatkala kita tersasar dari jalan-Nya, Dia titipkan seseorang untuk menarik kita agar tidak tersasar lebih jauh. Begitu juga andai Dia titipkan ujian demi ujian untuk kita, itulah tanda kasih sayang-Nya. Itulah tandanya Dia masih memandang kita. Cuba bayangkan jika Dia sudah tidak mahu memandang kita? Sudah pastilah kita akan dibiarkan terleka dan lalai dengan godaan dan pesona dunia...


** Teringat sebaris lirik dari lagu kumpulan nasyid Mestica, "...aku tahu inilah kasih-Mu, aku tahu inilah cinta-Mu..." **

Janji Yang Dimungkiri...

JANJI. Jika merujuk kepada Kamus Dewan edisi ketiga, ia membawa maksud pernyataan kesediaan untuk melakukan sesuatu. Dalam kehidupan seharian, kita juga tidak terlepas dari ‘janji’ malah sewaktu di alam roh lagi kita telah membuat satu perjanjian dengan Allah s.w.t.

Sekarang ini ana minta agar kita semua cuba bayangkan, seorang sahabat telah berjanji dengan kita untuk berjumpa pada sekian-sekian waktu di tempat yang telah ditentukan. Jadi kita pun menunggulah dengan harapan berbunga, dengan hati yang ceria. Lima minit menanti, sahabat yang ditunggu tidak muncul. Tak mengapalah, mungkin jalan sesak, fikir kita. Kita pun menunggu lagi, memerhatikan orang yang lalu-lalang, sepasang kekasih berjalan berpimpinan tangan (pastinya sakit mata kita memandang), si ibu memimpin tangan anaknya penuh mesra, seorang pelajar termenung (mungkin hatinya resah memikirkan pelajaran), tapi sahabat yang dinanti belum juga kunjung tiba. Tak apa, mungkin sekejap lagi dia sampai, fikir kita lagi. Kita melihat jam di tangan, ah... sudah 2 minit berlalu. Kita menanti dan terus menanti... setengah jam, naik satu jam, dua jam, tiga jam... Pernah melalui pengalaman seperti ini? Pastinya pernah bukan? Lebih malang lagi jika orang yang dinanti langsung tidak nampak batang hidung! Apa agaknya yang kita rasa? Mungkin akan terdetik di hati kita...

a) Eee...manalah budak ni?
b) Kalau ada hal pun call la...
c) Menyusahkan orang betullah!
d) Eeeiii... macam tunggu kucing bertanduk! Geramnya!!!

Baiklah, cuba kita bayangkan pula diri kita sendiri yang telah mengucap ikrar janji sebagai orang Islam di hadapan Allah s.w.t. bahawa kita akan mematuhi Rukun Islam terutamanya solat 5 waktu. Kita tahu solat itu tiang agama, telah kita ikrarkannya kepada Allah s.w.t. sejak sekian lama.

Kedengaran suara bilal melaungkan seruan azan, memanggil umat manusia untuk tunduk sujud menyembah-Nya. Berapa ramai antara kita yang segera menunaikan solat tatkala mendengar seruan azan? Tahukah kita bahawa Allah s.w.t. menanti kita untuk menghadap-Nya? Lima minit... 20 minit... 40 minit... satu jam... dua jam... tiga jam, Allah menanti kita. Lebih malang lagi ada antara kita yang langsung tidak menunaikan solat! Lebur! Serupalah seperti sahabat yang langsung tidak nampak batang hidung tadi tu! Jadi, cuba bayangkan pula apa yang Allah s.w.t. rasa bila Dia menanti kita menghadap-Nya. Jika kita punya rasa marah pada sahabat kita yang mungkir janji itu, sudah semestinya Allah, Tuhan yang menciptakan kita amat murka bila kita gagal menunaikan janji. Allah itu umpama tuan kita, sedangkan kita hanya seorang hamba. Cuba bayangkan apa perasaan seorang tuan jika hambanya tidak mengikut perintah? Marah bukan?



* SM paling tak suka menunggu orang. Tapi kalau kita perhatikan, dalam masyarakat Melayu, kan ada istilah ‘janji Melayu’. Mungkin sikap atau sifat ini sudah sebati dalam masyarakat Melayu tetapi sebagai seorang Muslim dan Mukmin sepatutnya kita tidak melakukan perkara seperti ini kerana jika kita tidak berpegang kepada janji, bukankah ia termasuk dalam ciri-ciri orang yang munafik? Na’uzubillah, minta dijauhkan dari kita...*

** Perkataan ‘melayu’ dalam bahasa Jawa bermaksud ‘lari’, jadi mungkin disebabkan itulah bila dikatakan ‘janji Melayu’ ia bermaksud janji yang dimungkiri... janji yang lari... erm... mungkin... **

Seuntai Kata Untuk Dirasa...


Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segunung kesyukuran dan segala pujian buat Allah kerana dengan izin-Nya, jari-jemari ini masih bisa menarikan kata, alhamdulillah.

Hidup adalah suatu perjalanan waktu. Hidup jua adalah suatu pengembaraan yang panjang. Ya, hidup tiada titik noktahnya sehingga kita menemui detik kematian di penghujung pengembaraan. Dan kita inilah si musafir dalam perjalanan dan pengembaraan memburu sebuah cinta Agung! Cinta Allah dan Rasulullah... Kitalah Si Musafir Kasih Ilahi...

Moga 'Musafir Kasih Ilahi' ini bisa menjadi wadah untuk jari-jemari ini menarikan kata-kata yang bisa memberi manfaat dan ingatan buat semua dan diri ini jua, kerana yang bernama INSAN itu seringkali terlupa.

Sekalung penghargaan buat Bro HafeizSuhaimi dan Shye yang menjadi 'guru' buat diri secara tidak langsung lewat 2 tahun yang lalu. Syukran kathiran jua buat teman-teman seperjuangan lantaran penulisan-penulisan antum telah memacu semangatku untuk terus menarikan jari-jemariku. Moga kita kan terus tsabat di atas jalan dakwah ini. Meminjam kata-kata seorang sahabat di AM, "Dakwah Bukan Satu Pilihan, Tapi Satu Tanggungjawab". Ingatlah sahabat-sahabatku, sesungguhnya jalan dakwah ini tidak menjanjikan kesenangan. Janganlah sesekali mengimpikan permaidani merah, kerana jalannya penuh dengan duri dan cubaan. Namun, ganjaran yang menanti di sana terlalu indah untuk digambarkan!

Kembara mencari tarbiyyah
Ditemani sahabat setia
Bagai Ansar Muhajirin menyulam cinta
Ukhwah diikat kasih keranaNya

Aral dan rintangan kami tempuhi
Berpenat lelah kami tak peduli
Masa tenaga kami korbankan
Harta dan Jiwa jadi taruhan

Kami bulatkan tekad
Melangkah di jalan dakwah
Jangan diimpikan permaidani merah
Ujian menerpa kami tak goyah...