Akademi Muslim

Ramadhan Kareem

Ukhwah Islamiyyah kah?

[Sumber: al-fikrah.net]

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.


Saya terjumpa satu tulisan yang menarik tentang persaudaraan Islam di sini

Saya pastekan sedikit:

Kalimah UKHUWAH adalah kata pinjaman daripada Bahasa Arab. Yang bermaksud persaudaraan. Persaudaraan pula boleh dieertikan sebagai perhubungan yang erat, menganggap sahabat, guru-guru dan lain-lainnya sebagai saudara kandung sendiri.


ISLAMIYYAH merupakan nisbah kepada ISLAM, yang disifatkan kepada UKHUWAH.

Jadi, UKHUWAH ISLAMIYYAH ialah persaudaraan Islami.

Apa pula persaudaraan Islami tu?

Persaudaraan yang bertunjangkan aqidah Islam yang benar dan sejahtera serta mampu meningkatkan keimanan dan amal soleh orang-orang yang berhubungan dengannya untuk mencapai redha Allah swt.

Menarik bukan. Sangat indah definisi persaudaraan Islami. Tetapi benarkah kita menghayatinya?

Kita cuba ambil beberapa contoh. Bila berjumpa dengan saudara seIslam kita yang baru pulang dari musafir, atau sudah lama tidak bertemu, lazimnya kita berpelukan.

Mari kita nilai. Siapa yang kita peluk? Apa kriteria orang yang kita peluk? Siapakah sahabat-sahabat kita yang kita peluk?

Semua sahabat kita kah? Atau sahabat-sahabat tertentu? Bertemu di masjid, tempat yang lazim aksi peluk memeluk ini berlaku. Apakah kita memeluk kesemua sahabat kita atau kita memilih-milih.

Siapa yang kita pilih? Sahabat satu kumpulan [mungkin senang difahami satu fikrah]. Lalu dengan sahabat-sahabat dari kumpulan yang lain, bagaimana pula? [lain fikrah, lain jemaah dan lain-lain].

Siapa saudara kita? Saudarakah apabila seorang sahabat kita yang meninggalkan usrah kita kerana dihalang daripada menghadiri majlis ilmu, lalu apabila bertemu di koridor kelas ke masjid UIA, tiada lagi senyum yang terukir di bibir.

Jika dulu [ketika seusrah] bukan main lagi, peluk sana sini, kalau perempuan siap laga-laga pipi, tapi bila dah keluar usrah, senyum pun jadi mahal, mahu mengungkap salam pun lidah sudah berat, bahkan salam diberi pun sudah tidak berjawab. Lalu persaudaraan Islami apakah ini?

Persaudaraan Islami? Oh kita mesti saling bertolong-tolongan dalam ketaqwaan. Tapi dalam satu Liqa', maka dibuatlah pengumuman senarai ustaz-ustaz yang mesti dijauhi, majlis ilmunya jangan dihadiri, berhati-hati dengan ustaz ini. Kerana apa? Kata si jurucakap di dalam Liqa' kerana ustaz-ustaz ini akan merosakkan fikrah. Maka hadirlah majlis-majlis ilmu mereka sahaja. Boikotlah majlis-majlis ilmu orang lain. Iya, mengajar tafsir ibn Kathir, hadis dalam Riadussolihin, mengajar kitab Aqidah semua itu merosakkan fikrah. Persaudaraan Islami apakah ini apabila ustaz-ustaz yang mengajar ini diseru untuk diboikot?

Boleh jadi ia bukan persaudaraan Islami, bukan ukhwah Islamiyyah. Tapi persaudaraan kumpulan sendiri, ukhwah kumpulan sendiri. Manusia luar kumpulan perlu dijauhi. Manusia dalam kumpulan lebih diutamakan daripada manusia di luar kumpulan. Senyuman, pelukan, kalimah salam hanya untuk kumpulan sendiri dan bukan manusia di luar kumpulan. Mungkin patut dicampak sahaja ke dinding slogan "Ukhwah Fillah Abadan Abada". Ini bukan ukhwah fillah namanya.

Ini adalah satu posting luahan hati dan satu teguran buat diri dan sahabat-sahabat semua yang menyertai gerakan da'wah. Muhasabahlah diri kita, apakah kita sedang berada dalam persaudaraan Islami, atau persaudaraan yang lain. Kita sesama Muslim, ada hak yang perlu dipenuhi, hak kita yang mereka perlu penuhi dan hak mereka yang perlu kita penuhi. Ya hak SESAMA MUSLIM, BUKAN HAK SESAMA AHLI KUMPULAN.




Oleh: Abu Usamah

0 comments:

Post a Comment