Akademi Muslim

Ramadhan Kareem

Ukhwah Islamiyyah kah?

[Sumber: al-fikrah.net]

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.


Saya terjumpa satu tulisan yang menarik tentang persaudaraan Islam di sini

Saya pastekan sedikit:

Kalimah UKHUWAH adalah kata pinjaman daripada Bahasa Arab. Yang bermaksud persaudaraan. Persaudaraan pula boleh dieertikan sebagai perhubungan yang erat, menganggap sahabat, guru-guru dan lain-lainnya sebagai saudara kandung sendiri.


ISLAMIYYAH merupakan nisbah kepada ISLAM, yang disifatkan kepada UKHUWAH.

Jadi, UKHUWAH ISLAMIYYAH ialah persaudaraan Islami.

Apa pula persaudaraan Islami tu?

Persaudaraan yang bertunjangkan aqidah Islam yang benar dan sejahtera serta mampu meningkatkan keimanan dan amal soleh orang-orang yang berhubungan dengannya untuk mencapai redha Allah swt.

Menarik bukan. Sangat indah definisi persaudaraan Islami. Tetapi benarkah kita menghayatinya?

Kita cuba ambil beberapa contoh. Bila berjumpa dengan saudara seIslam kita yang baru pulang dari musafir, atau sudah lama tidak bertemu, lazimnya kita berpelukan.

Mari kita nilai. Siapa yang kita peluk? Apa kriteria orang yang kita peluk? Siapakah sahabat-sahabat kita yang kita peluk?

Semua sahabat kita kah? Atau sahabat-sahabat tertentu? Bertemu di masjid, tempat yang lazim aksi peluk memeluk ini berlaku. Apakah kita memeluk kesemua sahabat kita atau kita memilih-milih.

Siapa yang kita pilih? Sahabat satu kumpulan [mungkin senang difahami satu fikrah]. Lalu dengan sahabat-sahabat dari kumpulan yang lain, bagaimana pula? [lain fikrah, lain jemaah dan lain-lain].

Siapa saudara kita? Saudarakah apabila seorang sahabat kita yang meninggalkan usrah kita kerana dihalang daripada menghadiri majlis ilmu, lalu apabila bertemu di koridor kelas ke masjid UIA, tiada lagi senyum yang terukir di bibir.

Jika dulu [ketika seusrah] bukan main lagi, peluk sana sini, kalau perempuan siap laga-laga pipi, tapi bila dah keluar usrah, senyum pun jadi mahal, mahu mengungkap salam pun lidah sudah berat, bahkan salam diberi pun sudah tidak berjawab. Lalu persaudaraan Islami apakah ini?

Persaudaraan Islami? Oh kita mesti saling bertolong-tolongan dalam ketaqwaan. Tapi dalam satu Liqa', maka dibuatlah pengumuman senarai ustaz-ustaz yang mesti dijauhi, majlis ilmunya jangan dihadiri, berhati-hati dengan ustaz ini. Kerana apa? Kata si jurucakap di dalam Liqa' kerana ustaz-ustaz ini akan merosakkan fikrah. Maka hadirlah majlis-majlis ilmu mereka sahaja. Boikotlah majlis-majlis ilmu orang lain. Iya, mengajar tafsir ibn Kathir, hadis dalam Riadussolihin, mengajar kitab Aqidah semua itu merosakkan fikrah. Persaudaraan Islami apakah ini apabila ustaz-ustaz yang mengajar ini diseru untuk diboikot?

Boleh jadi ia bukan persaudaraan Islami, bukan ukhwah Islamiyyah. Tapi persaudaraan kumpulan sendiri, ukhwah kumpulan sendiri. Manusia luar kumpulan perlu dijauhi. Manusia dalam kumpulan lebih diutamakan daripada manusia di luar kumpulan. Senyuman, pelukan, kalimah salam hanya untuk kumpulan sendiri dan bukan manusia di luar kumpulan. Mungkin patut dicampak sahaja ke dinding slogan "Ukhwah Fillah Abadan Abada". Ini bukan ukhwah fillah namanya.

Ini adalah satu posting luahan hati dan satu teguran buat diri dan sahabat-sahabat semua yang menyertai gerakan da'wah. Muhasabahlah diri kita, apakah kita sedang berada dalam persaudaraan Islami, atau persaudaraan yang lain. Kita sesama Muslim, ada hak yang perlu dipenuhi, hak kita yang mereka perlu penuhi dan hak mereka yang perlu kita penuhi. Ya hak SESAMA MUSLIM, BUKAN HAK SESAMA AHLI KUMPULAN.




Oleh: Abu Usamah

Hidup Biar Bermakna...

Epal sedang bersiar-siar di taman permainan berhampiran rumahnya. Tiba-tiba dia terserempak dengan Kiwi yang dalam perjalanan pulang dari masjid.

Epal : Kau dari mana ni?

Kiwi : Aku dari masjid, ada ceramah "Membina Insan Rabbani".

Epal : Apa dia 'Insan Rabbani' ni? Jamaah baru ke?

Kiwi : 'Insan Rabbani' ni adalah insan yang meletakkan Allah sebagai tujuan utama dalam hidup. Dia juga sentiasa meletakkan redha Allah itu sebagai harapan setiap masa. Cita-citanya yang paling tinggi ialah untuk bertemu dengan Allah di akhirat kelak.

Epal : Habis tu, macamana nak jadi 'Insan Rabbani' ni? Nak kena dengar lagu-lagu kumpulan Rabbani ke? Erm...macam lagu Pergi Tak Kembali, Intifada...???

Kiwi : Bukan... Sebelum tu, aku nak bagitahu ciri-ciri 'Insan Rabbani' ni. Antara ciri-ciri 'Insan Rabbani' ialah memiliki aqidah yang benar, ibadah yang sahih, Akhlaq yang mantap, mampu berdikari dan sentiasa menjaga masa.

Epal : Hurm... Aku ni boleh dikira sebagai 'Insan Rabbani' ke? Aku ni ok apa? Aku solat, aku puasa, erm.. zakat tu tak la lagi sebab mak ayah aku yang bayar zakat fitrah untuk aku... Setakat hari ni tak ada la pulak aku minum arak ke, berjudi ke, habis-habis pun aku buat nakal je sikit-sikit... hehe...

Kiwi : Ya, mungkin kau solat, kau puasa... tapi sepanjang kau solat dan puasa tu kau lakukan dengan sifat IHSAN tak?

Epal : Erk... IHSAN? Apa benda pulak tu? Solat, puasa dengan IHSAN? Pening la kepala aku ni...

Kiwi : IHSAN tu maksudnya kita lakukan segala ibadat dan suruhan Allah S.W.T. seolah-olah seperti Allah sedang melihat kita... Semua ibadat tu kita lakukan dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh...

Epal : Err... (diam dan terus membisu)

Kiwi : Untuk mencapai darjat 'Insan Rabbani' ni kita perlulah meletakkan tujuan hidup kita ini semata-mata kerana Allah. Kenapa? Kerana kita adalah khalifah Allah... Kita adalah wakil Allah... Dalam diri kita ini sendiri ada sifat-sifat Allah... Kita boleh mendengar, tapi DIA Maha Mendengar... Kita boleh melihat, tapi DIA Maha Melihat...

Kiwi : Hidup kita di dunia ini pun boleh ditamsilkan kita sedang menduduki peperiksaan di dalam dewan peperiksaan. Sebanyak mana pun kesalahan yang kita buat dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, kita masih berpeluang untuk membuat pembetulan selagi kita masih berada di dalam dewan. Tetapi apabila kita sudah berada di luar dewan, kita dah tak ada peluang nak betulkan kesalahan yang dah kita buat. Get my point?

Epal : Maksudnya, selagi kita masih bernyawa kita masih ada peluang nak betulkan setiap kesalahan yang kita dah buat. Tapi kalau kita dah mati, peluang tu dah tertutup rapat. Am I right?

Kiwi : Betul!

Epal : Ok. Tapi aku ni tak layak lagi ke nak dipanggil sebagai 'Insan Rabbani'?

Kiwi : Okey, kita tengok semula ciri-ciri 'Insan Rabbani'. Sebagai contoh, sentiasa menjaga masa. Biasanya kalau ada masa terluang, apa yang kau buat?

Epal : Erm... masa terluang ye? Biasanya aku main Playstation, sembang dengan kawan-kawan, gi tengok wayang, tengok Naruto bla... bla... bla...

Kiwi : Jadi, boleh tak kau ni dikategorikan sebagai orang yang sentiasa menjaga masa? Menjaga masa yang dimaksudkan kat sini ialah kau isi masa kau tu dengan perkara-perkara yang berfaedah, yang baik...

Epal : .... (tak terkata)

Kiwi tersenyum nipis memandang wajah Epal.

Kiwi : Ambil ni... mungkin berguna untuk kau...

Kiwi menghulurkan sekeping risalah yang diperolehinya sewaktu menghadiri ceramah di masjid tadi.

Hidup Biar Bermakna...

Mari pulang melihat asalmu, yang pernah berada di alam roh...
Allah bertanya kepada para roh,
“Apakah kamu mengakui bahawa Diriku ini adalah Tuhanmu?”
Mereka menjawab,
“Benar, bahkan kami menyaksikannya” al-Araaf:172
Di atas kesaksian itu,
kita dipindahkan ke alam berikutnya iaitu alam RAHIM yang penuh kasih sayang, menumpang kasih sebagai beban bonda...
Berbekalkan kasih seorang ibu dan sayang seorang ayah,
mencetuskan kembara jutaan usaha,
akhirnya engkau yang berjaya lantas bermulalah wujudmu sebagai insan,
dibentuk Tuhan dengan penuh ketelitian,
agar lahirmu sebagai manusia menjadi bukti terhadap keagungan-Nya,
menciptamu dengan seribu keajaiban...
“Dan pada dirimu sendiri(terdapat bukti kebesaran Allah),
lantas mengapakah kamu tidak memerhatikannya?” – Adz-Dzariyaat: 21

Lihatlah rupa paras kita yang diciptakan Allah...
Sepasang mata, jendela melihat kebesaran-Nya
Sepasang telinga, pintu terima firman perintah-Nya
Sepasang kaki, bekal kembara di dunia nanti
Degup jantung menghitung masa membilang untung
Kerlip mata. Akur pada tetapnya rezeki, hidup dan mati
Kelahiran, mula kembara di alam dunia...

Umur di dunia pendek, sebelum umur akhirat yang tiada hujungnya...
Lantas, berikan kasih setiap masa...
Tiada hari untuk membenci...
Belajar semua, belajar semula...
Tiada alasan jahil dibiarkan...
Hidup biar bermakna...
Pada ketaatan seorang HAMBA
Yang mengerti tujuan hidupnya
Agar mati tidak sia-sia...
Ada bekal ke kubur yang gelita...
Anak soleh, doanya menyelamatkan...
Sedekah jariah, kebaikan dan pahalanya berkekalan...
Ilmu dan kebaikan yang diajar, pahala mengatasi usia dan masa
Berilah erti hidupmu pada memberi...
Bertaubatlah sebaik amal dan bekal
Sebelum dunia menghantar pergi
Di alam barzakh pulang ke tanah
Menuju syurga...



**Berjalan, melihat dan mentafsir sepanjang permusafiran Kasih Ilahi agar hidup jadi lebih bermakna... **

Masih Ada Yang Sayang

Hati seorang ibu benar-benar terluka. Petang itu tatkala dalam perjalanan pulang dari kerja, pihak sekolah menghubunginya meminta agar dia segera datang bertemu pengetua sekolah anak lelakinya. Sudahlah seluruh tubuh keletihan gara-gara bebanan kerja seharian, kini ditambah pula dengan khabaran salah laku anaknya si dekolah.

"Puan, anak puan terpaksa kami gantung pesekolahannya selama seminggu atas beberapa kesalahan disiplin. Namun seandainya anak puan masih mengulangi kesalahan yang sama atau melanggar mana-mana peraturan sekolah yang lain, pihak kami terpaksa menyingkirkan anak puan dari sekolah ini." Kata-kata tuan pengetua itu kedengaran umpama letupan bom atom di bumi Hiroshima dan Nagasaki, begitu memeranjatkan hati si ibu. Perlahan, menitis air mata seorang ibu. Tangan si anak diraih dan digenggam kejap. Wajah si anak dipandang sayu.

"Along, sejujurnya ibu amat sedih atas apa yang telah Alog buat biarpun ibu dan ayah telah berusaha memberikan didikan yang terbaik buat Along. Tapi walau apa pun, ibu nak Along tahu bahawa hukuman yang Along terima ini besar maknanya. Along amat bertuah kerana di waktu Along melakukan kesilapan dan kesalahan, masih ada orang yang sudi menegur, menasihati dan memarahi Along. Itulah tandanya MASIH ADA YANG SAYANG dan ingin membantu Along untuk berubah." Air mata si ibu gugur lagi. Kepala anak lelakinya diusap perlahan lantas bibir mulia si ibu mengucup lembut ubun-ubun si anak.

Sahabat-sahabat yang ana kasihi, andai kita perhatikan kisah di atas pasti ada di antara kita pernah melalui situasi yang seakan-akan sama. Dalam kehidupan kita ini adakalanya kita tidak sedar terdapat banyak tanda-tanda Allah masih sayangkan kita. Tatkala kita tersasar dari jalan-Nya, Dia titipkan seseorang untuk menarik kita agar tidak tersasar lebih jauh. Begitu juga andai Dia titipkan ujian demi ujian untuk kita, itulah tanda kasih sayang-Nya. Itulah tandanya Dia masih memandang kita. Cuba bayangkan jika Dia sudah tidak mahu memandang kita? Sudah pastilah kita akan dibiarkan terleka dan lalai dengan godaan dan pesona dunia...


** Teringat sebaris lirik dari lagu kumpulan nasyid Mestica, "...aku tahu inilah kasih-Mu, aku tahu inilah cinta-Mu..." **

Janji Yang Dimungkiri...

JANJI. Jika merujuk kepada Kamus Dewan edisi ketiga, ia membawa maksud pernyataan kesediaan untuk melakukan sesuatu. Dalam kehidupan seharian, kita juga tidak terlepas dari ‘janji’ malah sewaktu di alam roh lagi kita telah membuat satu perjanjian dengan Allah s.w.t.

Sekarang ini ana minta agar kita semua cuba bayangkan, seorang sahabat telah berjanji dengan kita untuk berjumpa pada sekian-sekian waktu di tempat yang telah ditentukan. Jadi kita pun menunggulah dengan harapan berbunga, dengan hati yang ceria. Lima minit menanti, sahabat yang ditunggu tidak muncul. Tak mengapalah, mungkin jalan sesak, fikir kita. Kita pun menunggu lagi, memerhatikan orang yang lalu-lalang, sepasang kekasih berjalan berpimpinan tangan (pastinya sakit mata kita memandang), si ibu memimpin tangan anaknya penuh mesra, seorang pelajar termenung (mungkin hatinya resah memikirkan pelajaran), tapi sahabat yang dinanti belum juga kunjung tiba. Tak apa, mungkin sekejap lagi dia sampai, fikir kita lagi. Kita melihat jam di tangan, ah... sudah 2 minit berlalu. Kita menanti dan terus menanti... setengah jam, naik satu jam, dua jam, tiga jam... Pernah melalui pengalaman seperti ini? Pastinya pernah bukan? Lebih malang lagi jika orang yang dinanti langsung tidak nampak batang hidung! Apa agaknya yang kita rasa? Mungkin akan terdetik di hati kita...

a) Eee...manalah budak ni?
b) Kalau ada hal pun call la...
c) Menyusahkan orang betullah!
d) Eeeiii... macam tunggu kucing bertanduk! Geramnya!!!

Baiklah, cuba kita bayangkan pula diri kita sendiri yang telah mengucap ikrar janji sebagai orang Islam di hadapan Allah s.w.t. bahawa kita akan mematuhi Rukun Islam terutamanya solat 5 waktu. Kita tahu solat itu tiang agama, telah kita ikrarkannya kepada Allah s.w.t. sejak sekian lama.

Kedengaran suara bilal melaungkan seruan azan, memanggil umat manusia untuk tunduk sujud menyembah-Nya. Berapa ramai antara kita yang segera menunaikan solat tatkala mendengar seruan azan? Tahukah kita bahawa Allah s.w.t. menanti kita untuk menghadap-Nya? Lima minit... 20 minit... 40 minit... satu jam... dua jam... tiga jam, Allah menanti kita. Lebih malang lagi ada antara kita yang langsung tidak menunaikan solat! Lebur! Serupalah seperti sahabat yang langsung tidak nampak batang hidung tadi tu! Jadi, cuba bayangkan pula apa yang Allah s.w.t. rasa bila Dia menanti kita menghadap-Nya. Jika kita punya rasa marah pada sahabat kita yang mungkir janji itu, sudah semestinya Allah, Tuhan yang menciptakan kita amat murka bila kita gagal menunaikan janji. Allah itu umpama tuan kita, sedangkan kita hanya seorang hamba. Cuba bayangkan apa perasaan seorang tuan jika hambanya tidak mengikut perintah? Marah bukan?



* SM paling tak suka menunggu orang. Tapi kalau kita perhatikan, dalam masyarakat Melayu, kan ada istilah ‘janji Melayu’. Mungkin sikap atau sifat ini sudah sebati dalam masyarakat Melayu tetapi sebagai seorang Muslim dan Mukmin sepatutnya kita tidak melakukan perkara seperti ini kerana jika kita tidak berpegang kepada janji, bukankah ia termasuk dalam ciri-ciri orang yang munafik? Na’uzubillah, minta dijauhkan dari kita...*

** Perkataan ‘melayu’ dalam bahasa Jawa bermaksud ‘lari’, jadi mungkin disebabkan itulah bila dikatakan ‘janji Melayu’ ia bermaksud janji yang dimungkiri... janji yang lari... erm... mungkin... **

Seuntai Kata Untuk Dirasa...


Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Segunung kesyukuran dan segala pujian buat Allah kerana dengan izin-Nya, jari-jemari ini masih bisa menarikan kata, alhamdulillah.

Hidup adalah suatu perjalanan waktu. Hidup jua adalah suatu pengembaraan yang panjang. Ya, hidup tiada titik noktahnya sehingga kita menemui detik kematian di penghujung pengembaraan. Dan kita inilah si musafir dalam perjalanan dan pengembaraan memburu sebuah cinta Agung! Cinta Allah dan Rasulullah... Kitalah Si Musafir Kasih Ilahi...

Moga 'Musafir Kasih Ilahi' ini bisa menjadi wadah untuk jari-jemari ini menarikan kata-kata yang bisa memberi manfaat dan ingatan buat semua dan diri ini jua, kerana yang bernama INSAN itu seringkali terlupa.

Sekalung penghargaan buat Bro HafeizSuhaimi dan Shye yang menjadi 'guru' buat diri secara tidak langsung lewat 2 tahun yang lalu. Syukran kathiran jua buat teman-teman seperjuangan lantaran penulisan-penulisan antum telah memacu semangatku untuk terus menarikan jari-jemariku. Moga kita kan terus tsabat di atas jalan dakwah ini. Meminjam kata-kata seorang sahabat di AM, "Dakwah Bukan Satu Pilihan, Tapi Satu Tanggungjawab". Ingatlah sahabat-sahabatku, sesungguhnya jalan dakwah ini tidak menjanjikan kesenangan. Janganlah sesekali mengimpikan permaidani merah, kerana jalannya penuh dengan duri dan cubaan. Namun, ganjaran yang menanti di sana terlalu indah untuk digambarkan!

Kembara mencari tarbiyyah
Ditemani sahabat setia
Bagai Ansar Muhajirin menyulam cinta
Ukhwah diikat kasih keranaNya

Aral dan rintangan kami tempuhi
Berpenat lelah kami tak peduli
Masa tenaga kami korbankan
Harta dan Jiwa jadi taruhan

Kami bulatkan tekad
Melangkah di jalan dakwah
Jangan diimpikan permaidani merah
Ujian menerpa kami tak goyah...